Thursday, October 30, 2014

KEMANDULAN SEKUNDER SEBENARNYA RAMAI...

Bolehkah anda dianggap mandul sedangkan sudah mempunyai anak?. Jawabannya boleh walaupun kebanyakan orang mengaggapnya mustahil. Sebenarnya (menurut pakar) peratus wanita mandul selepas mendapatkan anak lebih tinggi dibandingkan mereka yang belum pernah beranak. Mandul selepas memperolehi anak dinamakan kemandulan sekunder (secondary infertility). Menurut kajian, bagi setiap pasangan yang mengalami masalah tidak mempunyai anak (kemandulan primer atau primary infertility) adalah 10 kes kemandulan sekunder. Kajian Kependudukan dan Kesuburan Malaysia 1984-1985, besar jumlahnya tetapi masalah ini tidak begitu menonjol. Selalunya yang memenuhi klinik pakar perbidanan atau sakit puan ialah golongan mandul primer. Mengapa demikian?. "Mungkin kerana sikap kebanyakan kita yang menganggap 'tidak apa' sebab sesudah mempunyai anak." Kata Dr Mohd Ismail Tambi. Orang yang belum mempunyai anak, sedaya upaya cuba mendapatkannya walaupun seorang. Sebab itu bilangan mereka begitu ramai mendapatkan rawatan dan nasihat doktor. Yang sudah mempunyai anak, memandang remeh soal ini dan jarang berasa bimbang. Mereka juga tidak menyedari bahawa mandul sebenarnya bukan sahaja tidak berupaya mendapat anak langsung, tetapi juga tidak mendapat anak lagi selepas beberapa lama. Menurut Dr Ismail Tambi, tafsiran mandul sebenarnya sama sahaja. "Tafsiran umum mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO): tidak hamil selepas satu atau beberapa anak setelah setahun sedangkan dia tidak mengamalkan sebarang kaedah merancang keluarga dan mempunyai hubungan seks biasa."
Mandul juga bermakna sama ada seorang wanita tidak berupaya mengandung dan melahirkan bayi hidup atau lelaki tidak berupaya menghamilkan wanita. SEBAB-SEBAB KEMANDULAN SEKUNDER:... Lumrah apabila disebut mandul, orang selalu mengaitkannya dengan wanita atau berpendapat bahawa kemandulan lebih banyak berlaku kepada wanita dibanding lelaki. Pendapat ini dak tepat!. Menurut kajian yang disesuaikan daripada penyelidikan dua sarjana Barat, SPEROFF (1983) dan KELLER (1984), peratus kemandulan berpunca daripada lelaki adalah sama dengan wanita iaitu 40peratus. Punca 20 peratus selebihnya tidak diketahui. Secara umum, sebab-sebab berlaku kemandulan sekunder adalah sama kemandulan primer: menurunnya tahap kesuburan dan kerosakan pada anggota reproduksi. Bagaimanapun, kemandulan sekunder juga boleh disebabkan satu punca lagi iaitu kesan-kesan kehamilan lalu. Inilah membezakan kehamilan ini dengan jenis primer.
"Tahap kesuburan amat penting untuk hamil," kata Dr Ismail. "Ia sukar diukur kerana berbeza mengikut keadaan orang tertentu. Tetapi kesuburan boleh menurun disebabkan umur meningkat, tekanan jiwa dan kesihatan terjejas. Ketika muda, tahap kesuburan tinggi dan pengeluaran benih lebih baik". Tiga serjana Barat- MENKEN, TRUSSELL dan LARSEN (1986)- mendapati tahap kesuburan wanita lebih baik sebelum berusia 30an dan menurun ketika mencapai lewat 30an. Masalah ini pula dipengaruhi perkara lain termasuk kekerapan hubungan kelamin dan umur suami. Bagi lelaki, umur mempunyai pengaruh penting keatas kekerapan hubungan kelamin (dan ini menentukan peluang hamil). Tetapi umur tidak mengurangkan kesuburan lelaki melainkan jika mencapai usia tua (melebihi 60). MASTERS dan JOHNSON (1975) pula mendapati hubungan kelamin tidak kerap adalah sebab umum kemandulan. Disebabkan itu, kata Dr Ismail, kekerapan buhungan kelamin yang disyorkan pakar perubatan (jika ingin hamil) ialah tiga kali seminggu atau lebih. " Benih lelaki atau sperma boleh bertahan dalam tubuh wanita tiga hari dan bilangannya pula tidak sama. Telor yang dikeluarkan wanita ketika subur boleh bertahan antara 12 dan 24 jam sahaja dan ini berlalu sebulan sekali iaitu dalam masa pertengahan pusiangan haid," Untuk mengetahui waktu subur wanita, Dr Ismail Tambi mengesyorkan mendapat nasihat pakar terlebih dahulu. Ia boleh dikesan sendiri. "Malah kami memang selalu memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada pesakit mengenai cara mengesannya." Selain dua sebab utama itu, tekanan jiwa dan fikiran juga boleh menyebabkan seseorang mandul. Misalnya tekaan ditempat kerja, dirumah, dengan isteri, anak, ketua di pejabat, rakan-rakan atau keadaan persekitaran. Tekanan ini, selain mengganggu tahap kesuburan, juga menyebabkan hilang minat/ upaya mengadakan hubungan kelamin. Mungkin juga anggota reproduksi tidak boleh berfungsi. Keadaan sama berlaku jika kesihatan terjejas atau menghidap penyakit-penyakit serius seperti darah tinggi, lemah jantung atau kencing manis. Kata Dr Ismail: " Mandul juga berlaku jika si lelaki mengidap penyakit tuan iaitu penyakit berkaitan anggota kelamin lelaki seperti sakit buah zakar dan angin pasang. Perlu diingat, penyakit disebabkan hubungan seks bebas seperti AIDS dan gonorea juga boleh menyebabkan mandul." Bagi wanita pula, selain sakit puan yang merosakkan organ reproduksi, kesan kehamilan lalu boleh/mungkin menyebabkan kemandulan sekunder. Kesan itu seperti pembedahan atau prosedur yang dilalui ketika hamil atau selepas melahirkan, Ini termasuk juga menggugurkan kandungan atau terpaksa digugurkan kerana sesuatu penyakit. Ketika menjalani pembedahan atau pengguguran, mungkin wanita itu mengalami kerosakan organ tertentu, menyebabkan dia sukar atau tidak boleh hamil lagi. Begitu juga pengamalan selepas melahirkan anak yang biasa dilakukan masyarakat kita. Umpamanya bertungku, bertangas, urut, barut atau berganggang. Malah ada yang merendamkan kemaluannya dalam air rempah atau akar kayu dan ini juga mungkin mengganggu anggota reproduksi atau menyebabkan saluran rahim tersumbat. Bagaimanapun tidak semestinya amalan ini menyebabkan kemandulan sekunder. Ia terpulang kepada cara pengamalan itu dilakukan. Makanan selepas bersalin juga satu faktor kemandulan sekunder. Ada orang terlalu kuat pantang-larang selepas bersalin, ini menyebabkan dia tidak mengambil cukup makanan berkhasiat. Pemakanan pula tidak teratur dan tidak mengikut peraturan betul. Ini boleh menyebabkan tahap kesuburan merendah. Menyusukan anak juga menjadi faktor tidak subur dan keadaan ini dipanggil HYPERPROLAC-TINEMIA. Hormon prolaktin biasanya keluar ketika menyusukan anak dan ini menyekat kesuburan. Bagaimanapun ini adalah perkara semula jadi untuk menjarakkan anak kerana ada jangka masa tertentu penyusuan. PENCEGAHAN: Setiap orang harus mempunyai serba sedikit pengetahuan mengenai faktor kesuburan, kata Dr Ismail. "Umpamanya Umur, Ketika merancang bilangan anak, jangan menunggu terlalu lama untuk menjarakkan mereka, ini kerana semakin umur meningkat, semakin tidak subur, jadi, sewaktu muda, sebaik-baiknya cuba dapatkan anak secepat mungkin." Umur terbaik mendapat anak ialah diantara belasan sehingga awal 20an. Melebihi 30 tahun, peratusnye merendah iaitu kurang 40 peratus. Menjelang 40 pula, ia menurun sehingga 80 peratus. Bayangkan betapa kecilnya peluang untuk hamil. Jesteru,mereka yang berkahwin lambat lebih terdedah kepada masalah kemandulan. Untuk mencegah kemandulan sekunder, setiap pasangan harus mengatur kekerapan hubungan kelamin. Pengetahuan mengenai waktu kesuburan juga penting. Ini boleh diperolehi melalui nasihat pakar perbidanan. " Elakkan tekanan," nasihat Dr Ismail" memang setiap orang tidak dapat membebaskan diri daripada tekanan di persekitarannya. Tetapi sebaik-baiknya cuba jangan terlalu memandangnya sebagai masalah berat atau sukar diatasi. Lebih baik selalu tenangkan fikiran ketika menghadapinya. Selain itu amat penting mengelakkan kerosakan anggota reproduksi. Misalnya ketika memilih cara mencegah kehamilan, dinasihatkan menggunakan cara yang tahap bahayanya lebih rendah seperti pil atau kondom. Penggunaan alat seperti IUD ( INTRAUTERINE DEVICE) mungkin boleh menyebabkan kemandulan (tetapi ini tidak bermakna setiap pengguna IUD mesti mengalami masalah ini). Mereka yang terlalu cergas dalam bidang membabitkan pergerakan badan seperti ahli sukan atau penari profesional juga mungkin mengalami kemandulan. Begitu juga jika kerap berpakaian atau berseluar ketat dan gemar mandi air panas kerana ini mempengaruhi pengeluaran benih. Makanan juga penting mencegah kemandulan. Tabiat pemakanan tidak seimbang, terlalu banyak merokok, minuman keras dan menagih dadah juga menjejaskan pengeluaran benih dan tahap kesuburan. Selain itu, jika terlalu kerap menggugurkan kandungan atau pengguguran itu tidak dibuat secara sempurna, maka peluang menjadi mandul adalah besar. Begitu juga beberapa jenis pembedahan termasuk sesarean dan rawatan perubatan. Maka sekiranya rawatan-rawatan ini diperlukan, seeloknya berbincang terlebih dahulu mengenai kemungkinan-kemungkinan boleh berlaku.

Thursday, October 23, 2014

KAITAN AIR DAN DIABETES

Adakah anda pernah mengalami rasa seperti ingin mati kedahagaan dan rakan anda berkata, " mungkin ada kaitan dengan diabetes?". Bunyi seakan merepek tetapi realitinya, dahaga adalah petanda penyakit ini yang kini giat 'menyerang' rakyat negara ini. Jadi mengapa dahaga berkait dengan diabetes?. Dengan diabetes, lebihan gula atau glukosa dalam tubuh akan menarik air daripada tisu, menyebabkan anda berasa seperti mengalami penyahidratan. Bagi mengatasinya, anda minum banyak air dan lain-lain menuman ringan yang mendorong anda lebih kerap membuang air kecil. Bagaimanapun tidak semestinya rasa dahaga sebegini dikaitkan dengan diabetes. Ia mungkin juga berpunca daripada masalah lain. Jadi pergilah berjumpa doktor. Sekiranya anda disahkan mengidap diabetes, bermakna anda perlu melakukan beberapa perubahan dalam diet. Paling utama menggantikan minuman bergula dengan air kosong. Memandangkan anda kerap merasa dahaga, air kosong merupakan cara terbaik untuk menghilangkan dahaga dan memecahkan glukosa. Selain itu bagi memastikan tubuh berfungsi secara normal, pengambilan air perlu berterusan. Jus dan minuman soda juga mengandungi air dan lazimnya dikira sebagai sebahagian daripada ' peraturan lapan gelas sehari'. Bagaimanapun ia seharusnya dielakkan bagi mengawal peningkatan paras glukosa dalam darah. Di rumah, mungkin anda boleh mengamalkan minuman air kosong tetapi kalau sebaliknya, anda perlu membawa botol air. Namun jika anda lebih gemarkan minuman berperisa (dengan pemanis tiruan), ia sudah dianggap minuman ringan. Untuk itu anda perlu berbincang dengan pakar pemakanan mengenai jumlah yang seharusnya diambil.Lagipun pengambilan secara berlebihan boleh menyebabkan anda menjadi lebih dahaga. 2011- iSIHAT

Friday, October 17, 2014

BERKHATAN: Sebab kosmetik atau kesihatan..

Di Malaysia, berkhatan barangkali bukanlah satu isu, terutamanya di kalangan penganut Islam. Namun situasinya berbeza di Negara Uncle Sam. Ia menjadi perdebatan sejak zaman berzaman. Pada tahun 1971 dan 1975, Akedemi Pediatrik Amerika Syarikat (AAP) berkata berkhatan tidak perlu. Tapi pada tahun 1999, kajian 40 tahun, konstroversi akhirnya terungkap. Selain dari sebab agama ternyata berkhatan punya potensi kesihatan dan juga kosmetik. Pertubuhan Kkesihatan Sedunia (WHO) telah mengistiharkan berkhatan atau 'circumcision' ialah satunya prosedur kesihatan yang sangat bermanafaat. INFO RINGKAS: * Pada 28 Mac 2007, WHO telah mengeluarkan kenyataan penting berkenaan kaedah pencegahan HIV. Ia berbunyi ' kajian saintifik telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa lelaki berkhatan mengurangkan kadar perpindahan kuman virus HIV kepada wanita atau isteri. Bkhatan juga mula diamalkan di negara yang berisiko tingi dengan jangkitan HIV seperti beberapa buah negara di Benua Afrika'. * Bkhatan mampu mengurankan risiko penyakit kanser terutamanya zakar, prostat serta serviks (pangkal rahim)) dan payu dara kepada wanita. * Bakteria dikenali sebagai Human Papilloma (HPV) adalah antara faktor serangan kanser serviks. Ia biasanya berselindung di bawah hujung kulit zakar dan dipindahkan kepada wanita semasa persetubuhan. Kajian menunjukkan sebanyak 20 peratus serangan penyakit kanser boleh dielakkan sekiranya seseorang lelaki itu berkhatan. * Kulit yang berlebihan pada hujung zakar mempunyai suhu yang amat sesuai untuk pertumbuhan kuman kerana ia sering cedera, lembab dan bersifat menakung. Ia menakung kotoran, saki baki air kencing dan menghasilkan longgokan putih dan berbau busuk dikenali sebagai 'smegma'. * Smegma juga menjadi faktor penyebab jangkitan kuman pada zakar seperti phimosis, paraphimosis atau balanitis. Dalam keadaan yang serius, paraphimosis atau balanitis. Dalam keadaan yang serius, ia menyebabkan kesakitan yang teruk dan kesukaran membuang air kecil. * Dianggarkan 30 peratus lelaki di seluruh dunia berkhatan. Negara seperti Israel berkhatan kerana kepercayaan agama. Di negara seperti AS, United Kingdom dan Kanada, kaum lelaki berkhatan atas faktor kesihatan dan kebersihan. * Berkhatan memberi kesan kepada seksualiti. Sesetengah percaya lelaki yang bersunat akan lebih berupaya memuaskan pasangan kerana kurang berlaku geseran sewaktu hubungan intim. * AS merupakan satu-satunya negara yang mengamalkan berkhatan tanpa tujuan keagamaan. Sebanyak 3,000 bayi dikhatankan setiap hari atau lebih 55 peratus akan berkhatan sebelum meninggalkan hospital. * Dianggarkan 90 peratus bayi yang dikhatankan bukan berkaitan dengan kepercayaan agama. Namun tiga sebab utama ibu bapa di AS mengkhatankan bayi mereka ialah agama, adat tradisi dan kebersihan. Faktor kurang popular termasuklah tekanan rakan-rakan dan budaya keluarga. * Salah satu risiko tidak berkhatan adalah jangkitan salur kencing. Ia berlaku pada 1:100 bayi lelaki pada tahun pertama kehidupan mereka. Namun nisbah menurun kepada 1:1,000 sekiranya mereka berkhatan. sumber dari: isihat..julai 2010

Monday, October 13, 2014

HEPATITIS B LEBIH MUDAH BERJANGKIT

Jangan culas jika sepanjang kehamilan, anda perlu menjalani pemeriksaan setiap bulan. Jangan berkira mengenai masa yang perlu diperuntukkan jika terpaksa membuat pelbagai ujian tertentu sepanjang kehamilan itu. Ujian seperti ini bukan saja mengesahkan keadaan kesihatan anda tetapi juga mempengaruhi janin. Misalnya bagi seorang wanita hamil yang dijangkiti virus hepatitis B, wujud risiko ia akan berjangkit pada fetus. Sama ada bayi akan dijangkiti virus, bergantung pada bila jangkitan terjadi. jika jangkitan berlaku pada awal kehamilan, risiko jangkitan kurang daripada 10 peratus untuk bayi mendapat virus. Jika pada akhir kehamilan, risiko itu meningkat hingga 90 peratus. Pakar Perunding Hepotologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Rosmawati Mohamed, berkata hepatitis serius pada bayi hingga boleh mengancam nyawa. Malah, bayi mungkin berisiko alami masalah kesihatan yang lebih serius. Beliau berkata, tanpa rawatan, bayi baru lahir juga berisiko untuk menjadi pembawa. Justeru, bayi boleh menyebarkannya kepada orang lain. Apabila mereka membesar, 25 peratus pembawa berisiko untuk meninggal dunia disebabkan barah hati. " Hepatitis B selalunya tidak mendatangkan masalah ketika kehamilan. Bagaimanapun, virus boleh disebarkan kepada bayi ketika proses kelahiran, sama ada kelahiran itu normal atau pembedahan," katanya. Bayi baru lahir yang tidak menerima vaksin hepatitis B mula menunjukkan simpton jangkitan yang akut dalam tempoh sebulan atau empat bulan selepas dijangkiti. Bagi kebanyakan kes, mereka mula menunjukkan jangkitan antara empat hingga enam bulan. Tidak seperti orang dewasa, bayi yang diserang hepatitis B selalunya kronik. " Oleh itu wanita hamil perlu mengambil ujian hepatitis B. Doktor akan memberi bayi vaksin dalam tempoh sehari selepas dilahirkan," katanya. Secara umum, hepatitis B yang kronik adalah masalah kesihatan global yang serius. Ia berada dalam kedudukan ke 10 penyebab utama kematian. Disebabkan virushepatitis B (HBV) yang menyerang sel hati, hepatitis B kronik boleh menyebabkan parut pada hati (cirrhosis), barah hati, kegagalan hati dan kematian. Justeru, ia menjejaskan kesihatan sekitar 350 juga orang dan bertanggungjawab pada 1.2 juta kematian setiap tahun. Antara 15 hingga 25 peratus mereka yang terjejas secara kronik akan mati disebabkan komplikasi jangkitan HBV seperti cirrhosis dan barah hati. Prof Dr Rosmawati berkata, jika jangkitan berlaku lebih daripada enam bulan, ia dianggap sebagai jangkitan yang kronik dan selalunya akan kekal sepanjang hayat. Ada kalanya pesakit tidak mengalami sebarang simpton tetapi ada yang mengalami joundis, sakit perut, hilang selera makan, muntah dan sakit sendi. Dianggarkan hampir 78 peratus kes hepatitis B yang kronik terjadi di Asia dan dianggarkan 360,000 kematian disebabkan hepatitis B terjadi setiap tahun membabitkan populasi Asia Timur saja. Di Malaysia, kelaziman kadar hepatitis B di kalangan populasinya adalah 5.24 peratus iaitu sekitar 1.3 juga penduduk. " Ramai orang tidak tahu bahawa HBV mudah berjangkit antara 50 hingga 100 kali berbanding HIV. Di kawasan ia menjadi endemik, kebanyakan populasinya dijangkiti sejak bayi atau kanak-kanak," katanya. Malah, jangkitan atau pindahan HBV paling kerap terjadi antara ibu dan anak ketika proses bersalin. Ini kerana ibu tidak menyedari dia adalah pembawa atau pesakit hepatitis B yang kronik. Selain itu, HBV juga tersebar melalui pemindahan darah, berkongsi atau menggunakan semula jarum (seperti proses bertatu) atau seks tidak selamat. HBV tidak tersebar melalui minuman atau makanan, berkongsi tandas, menyusukan bayi, berpeluk atau berkucup atau bersin dan batuk. Beliau berkata, kebanyakan mereka yang dijangkiti HBV tidak menunjukkan sebarang simpton. Malah, mereka mungkin mendapati ujian darah untuk fungsi hati adalah normal. Secara umum. HBV tidak menunjukkan simpton yang spesifik dan pesakit tidak menyedari risiko barah hati sehingga ia menyerang pada tahap sangat serius. " Barah hati selalunya membawa kematian kerana ketika barah itu masih pada tahap awal, tiada simpton ditunjukkan. Ini menyebabkan diagnosis barah hati selalunya pada tahap yang lewat," katanya. Berbanding wanita, lelaki lebih kerap diserang barah hati apatah lagi jika memiliki sejarah keluarga yang berhadapan dengan masalah yang sama. Lazimnya, barah hati akan terjadi pada usia antara 35 hingga 65 tahun. RAWATAN Mendapatkan vaksin adalah langkah terbaik mencegah hepatitis B. Sebanyak 116 negara melaksanakan program imunisasi HBV manakala hanya 10 peratus saja kanak-kanak sihat yang menerima vaksin ini gagal membina antibodi mencegah HBV. Anda perlu tahu vaksin tidak bermanfaat untuk mereka yang sudah dijangkiti HBV. DI Malaysia, suntikan melindungi daripada HBV sudah dimasukkan dalam program imunisasi kebangsaan sejak 2002. Bagaimanapun, untuk kanak-kanak yang lahir sebelum 2001, mendapatkan vaksin hepatitis B adalah antara agenda yang perlu diberi pertimbangan. Suntikan ini penting kerana kanak-kanak yang dijangkiti HBV selalunya akan berhadapan dengan jangkitan yang kronik. Malah, tanpa vaksin, sebanyak 90 peratus bayi dijangkiti HBV pada tahun pertama kehidupannya. Sementara antara 30 hingga 50 peratus kanak-kanak yang dijangkiti pada usia antara satu hingga empat tahun juga akan dijangkiti HB kronik. Risiko kematian disebabkan barah hati dianggarkan 25 peratus pada mereka yang dijangkiti HBV kronik ketika kanak-kanak. Ada perbagai vaksin mencegah jangkitan HBV di pasaran, antaranya yang terbaru ialah SEBIVO yang dibangunkan Novartis. FAKTA: BAGAIMANA HBV MEREBAK? HBV lebih mudah berjangkit antara 50 hingga 100 kali berbanding HIV Virusnya boleh ditemui dalam darah, air liur, air mani dan cecair vagina. HBV tidak merebak melalui udara, makanan, air, susu ibu, berpelukan, bercium, batuk, bersin atau berkongsi gelas minuman atau makanan. Penyebaran HBV daripada emak kepada anak berlaku ketika bersalin sama ada proses bersalin itu melalui saluran peranakan atau pembedahan. Sebanyak 90 peratus bayi yang dijangkiti ketika lahir jika tidak menerima rawatan akan alami HBV lebih kronik. Kebanyakan warga Asia dan Afrika dijangkiti HBV ketika kanak-kanak atau ketika dilahirkan. Kebanyakan warga Eropah dan Amerika pula dijangkiti HBV ketika remaja menerusi aktiviti seksual dan penggunaan dadah. Lebih dari 2/3 kes HBV tidak menunjukkan sebarang simpton. Kadankala jika simpton muncul, ia selalu disalah tafsir sebagai influenza, demam, letih, sakit sendi, sakit otot, hilang selera makan, pening dan muntah. Berita Harian... selasa. 12/02/2008